1.0
PENGENALAN
Perkataan
tamadun berasal daripada bahasa Arab iaitu mudun, madain dan madana. Perkataan
tersebut bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Dari segi konsep, tamadun membawa maksud
peradaban, pembangunan atau kemajuan. Menurut
sarjana Islam pula, tamadun bermaksud pembangunan dalam aspek lahiriah dan
rohaniah iaitu kemajuan dalam bidang fizikal dan sahsiah manusia. Menurut
mereka, tamadun mestilah wujud keseimbangan antara kemajuan lahiriah dan
rohaniah.
Ibn
Khaldun (732H – 808H) merupakan orang pertama yang membuat kajian khusus
tentang tamadun pada kurun ke-14 dalam bukunya al-Muqaddimah li Kitab al-'ibar
wa Diwan al-Mabtada' wa al-Khabar fi Ayyam al-'Arab wa al-'Ajam wa al-Barbar.
Beliau menggunakan perkataan “umran” sebagai merujuk kepada “tamadun” yang kita
fahami sekarang. Menurut Ibn Khaldun, tamadun ialah pembangunan bandar yang
subur dan makmur dengan pencapaian yang tinggi dalam pelbagai bidang ekonomi,
politik, sosial, seni bina termasuk bidang sains seperti aritmetik, algebra,
geometri, kimia, perubatan serta puisi dan pengajian Islam.
Karya
seni yang mantap akan sentiasa diperkatakan serta menjadi rujukan. Karya
sebegini tergolong dalam senarai karya-karya klasik di mana subjek, tema dan
isu semasa akan menjadi relevan pada setiap zaman. Beberapa karya filem Tan Sri
Dr. P. Ramlee juga tergolong ke dalam kategori ini. Di dalam konteks sinema
Malaysia, P. Ramlee adalah seorang karyawan yang unik. Dia melihat filem
sebagai satu medium seni yang amat berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang
bermanfaat kepada bangsa dan agama. P. Ramlee membuat pelbagai kritikan,
sindiran dan teguran yang berkaitan dengan aspek moral dan spiritual yang
dibuat dengan gaya dan cara yang lembut dan amat tersirat yang sesuai dengan
tuntutan agama dan budaya bangsa.
Filem
Pendekar Bujang Lapok (1959) merupakan filem arahan Tan Sri. Dr. P. Ramlee yang
mengetengahkan ciri-ciri ketamadunan masyarakat pada masa itu. Filem ini telah
terpilih sebagai penerima Anugerah Komedi Terbaik pada 1959 di Filem Festival
Asia Ke-6, di Kuala Lumpur. Filem ini mengisahkan tiga orang sahabat baik iaitu
Ramli (P.Ramlee), Ajis (Aziz Sattar) dan Sudin (S.Shamsuddin) yang ingin
belajar silat dengan seorang guru silat yang bernama Pendekar Mustar
(Mustarjo). Mereka bertiga begitu kagum dengan kehandalan Pendekar Mustar yang
telah berjaya menewaskan dua orang pemuda di Pekan Penambang. Oleh kerana
mereka semuanya buta huruf, mereka tidak dapat membaca di mana letaknya Kampung
Pinang Sebatang iaitu tempat di mana terdapatnya rumah Pendekar Mustar.
Sehinggalah mereka mengekori seorang gadis yang bernama Ros (Rose Yatimah) yang
kebetulan adalah anak kepada Pendekar Mustar. Dari situlah pelbagai adegan yang
mencuit hati semasa mereka belajar silat dengan Pendekar Mustar. Semasa
pembelajaran itu, mereka disuruh bertapa antaranya kubur tempat orang mati
dibunuh, perigi buta yang telah ditinggalkan dan rumah usang yang tiada
penghuni. Mereka juga telah jatuh hati kepada Ros, tetapi Ros lebih suka kepada
Ramli.
2.0
CIRI TAMADUN
Ciri-ciri
tamadun terdiri daripada penempatan kekal, pengkhususan pekerjaan, sistem
pengelasan sosial dan kepercayaan serta agama yang diamalkan oleh sesebuah
masyarakat. Secara ringkasnya, ciri-ciri tamadun memerlukan beberapa elemen
asas yang memainkan peranan penting dalam proses pembentukan sesebuah tamadun. Antara
elemen tersebut ialah penempatan manusia pada suatu tempat yang strategik
seperti pusat bandar. Seterusnya, jangka hayat penghidupan yang stabil dan agak
panjang. Di samping itu, terdapat sistem organisasi dan institusi sosial dalam
bidang politik, ekonomi, sosialisasi dan pendidikan yang teratur dan
sistematik. Selain itu, wujud satu bahasa atau beberapa bahasa serumpun dengan
sistem tulisan tersendiri yang menjadi alat komunikasi ilmu. Selain daripada
itu, wujud undang-undang yang teratur dan berwibawa untuk mengawal perlakuan
dan tindak-tanduk anggota masyarakatnya. Akhir sekali, terdapat peningkatan
daya kekreatifan dalam bidang seni, sastera, falsafah dan pelbagai penciptaan
sains dan teknologi.
Ciri
tamadun yang terdapat dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah penempatan kekal.
Filem ini menggambarkan situasi perkampungan yang boleh dilihat di babak Bujang
Lapok sedang mencari Kampung Pinang Sebatang. Rumah-rumah yang dibina daripada
kayu membuktikan penempatan pada zaman itu adalah secara perkampungan dan hidup
bermasyarakat. Masyarakat yang hanya berjalan kaki dan menggunakan basikal
untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat menunjukkan suasana perkampungan
orang Melayu pada ketika itu. Hal ini dapat dibuktikan lagi apabila Bujang
Lapok tiba di rumah Pendekar Mustar. Rumahnya yang dibina daripada kayu dan
direka bentuk mengikut rumah tradisional orang Melayu. Selain itu, filem ini
juga menunjukkan potret lazim Melayu desa yang sentiasa dipanggang matahari
panas dan berkeringat mencari sesuap nasi. Raut wajah si pengayuh dan
penumpangnya sewaktu permulaan filem ini, dapat dilihat kepayahan
memperjuangkan hidup. Barang-barang dibawa ternyata mereka menaiki sampan untuk
menjalankan kerja-kerja harian ataupun berdagang.
Dari
segi kehidupan berorganisasi pula, pertambahan bilangan penduduk telah membawa
kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan
politik. Kehidupan berorganisasi ini mampu mengatur cara hidup manusia untuk
memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka. Organisasi sosial yang
paling awal ialah sistem keluarga. Pertambahan bilangan penduduk dan
kepelbagaian aktiviti ekonomi telah membawa kepada proses pembahagian masyarakat
yang lebih kompleks. Sistem sosial masyarakat ini adalah berbentuk piramid dan
bersusun lapis mengikut status sosial.
Filem
Pendekar Bujang Lapok merupakan sebuah filem lama yang memaparkan keadaan
sosial masyarakat pada waktu itu. Sebagai contoh, rupa dan kostum protagonis
dan antagonis dalam Pendekar Bujang Lapok jelas menggambarkan perbezaan kelas
sosial di antara mereka. Wak Mustar dan tiga pemuda (Bujang Lapok) memakai baju
yang menjadi petanda bahawa mereka adalah dari kaum Melayu dan juga mereka
terdiri dari kelas pekerja. Pemilik feri memakai baju dan topi putih serta
memegang tongkat yang menunjukkan statusnya sebagai orang kaya dan ada
kedudukan. Ia juga menampakkan sifat kapitalis dan kebaratannya.
Pekerja-pekerjanya mengenakan pakaian seragam yang tidak menampakkan ciri-ciri
kemelayuan.
Seterusnya,
ciri yang ditonjolkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah agama dan
kepercayaan. Melalui babak Pendekar Bujang Lapok merupakan satu gambaran di
mana masyarakat sangat mempercayai unsur-unsur ghaib seperti ‘mambang’ ataupun
makhluk-makhluk halus. Pelbagai alat digunakan untuk melindungkan diri seperti
mantera, jampi, serapah dan sebagainya. Mantera sebagai salah satu genre diketengahkan
dalam filem Pendekar Bujang Lapok menggambarkan kepercayaan zaman animisme
kerana mantera yang digunakan menyeru kepada “mambang” yang dipercayai
mempunyai kuasa untuk melindung mereka. Dengan ini, kita dapat menilai bahawa
mantera wujud sebelum kedatangan Islam. Kesan daripada unsur ini memberi
gambaran tentang kejahilan masyarakat zaman dahulu dan ternyata golongan
masyarakat yang masih mempraktikkan “mantera” dalam menyeru sesuatu kuasa
adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ternyata kepercayaan ini penting dalam
memperlihatkan peredaran zaman dalam sistem kepercayaan masyarakat Melayu.
Zaman 60-an di mana filem itu dihasilkan, sebenarnya sudah menerima Islam,
iaitu Allah yang Maha Berkuasa, maka itu adegan mantera diketengahkan sebagai
adegan lucu yang tidak harus diambil serius sebagai satu kepercayaan zaman itu
dan seterusnya.
Seterusnya,
bahasa dan sistem tulisan yang digunakan dalam filem ini ialah bahasa Melayu
dan tulisan Jawi. Pada tahun 1960-an, kebanyakkan filem Melayu telah menggunakan
bahasa Melayu dengan sebutan baku. Contohnya perkataan “mambang”, “cobaan” dan
lain-lain. Ini disebabkan pengarah dan penolong pengarah pada masa itu terdiri
daripada orang Melayu. Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu digunakan cukup
meluas dalam filem. Pada masa ini, bahasa Melayu mula bercampur aduk dengan
loghat atau pengaruh bahasa Tamil, Cina, Inggeris, Filipina dan lain-lain. Contohnya
babak ketika Pak Mustar menunjukkan alat muzik kepada Bujang Lapok dan menyebut
nama alat muzik tersebut, kebanyakkan alat muzik yang ditunjuknya menggunakan
kata pinjam inggeris seperti bongo, biola dan piano. Dialog-dialog yang
digunakan dalam filem Pendekar Bujang Lapok lebih menggunakan bahasa yang mudah
difahami oleh masyarakat. Selain itu, bukti yang menunjukkan tulisan Jawi
digunakan dalam filem ini adalah sewaktu babak Bujang Lapok pergi ke sekolah
orang buta huruf, mereka diajar untuk membaca huruf jawi.
3.0
NILAI KEMANUSIAAN
Nilai
kemanusiaan membawa maksud kualiti atau mutu yang berkaitan perihal sifat
manusia. Masa kini sering kali kita diperdengarkan kurangnya nilai kemanusiaan
di dalam masyarakat moden. Selain itu, P.Ramlee juga boleh disifatkan sebagai
seniman yang berfikiran kritis dan kritikal dalam melihat dan mengolah nilai-nilai
kemanusiaan yang terkandung di dalam masyarakat Melayu.
Antara
nilai yang ketara diterapkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok adalah mengenai
nilai persahabatan, hal ini dapat dibuktikan walaupun mereka bertiga (Ramlee,
Aziz dan Sudin) mengalami kesukaran dalam kehidupan mereka namun, semangat
setiakawan antara mereka tetap kukuh. Selain itu, kekukuhan persahabatan yang
ditunjukkan oleh Ramli, Aziz dan Sudin dapat dilihat sewaktu babak perkenalan
mereka bersama Pendekar Mustar. Apabila Pendekar Mustar bertanya nama mereka
bertiga lalu membuat kesimpulan bahawa mereka bertiga bukan saudara namun hanya
sahabat. Ramli dan Aziz terus berkata “Yaa..Kami sahabat sudah lama pak cik
sejak dari dalam perut lagi”. Nilai persahabatan ini lebih kukuh lagi apabila
mereka bersama-sama menghadapi cubaan ketika menuntut ilmu persilatan. Sebelum
itu, mereka dipecahkan kepada tiga kawasan untuk pergi bertapa namun gagal
kerana tidak dapat bertahan dengan gangguan dikawasan mereka bertapa. Selepas
itu, barulah mereka bergabung bersama dan bertapa di satu tempat bersama dan
berjaya mengharungi gangguan ketika bertapa. Ini menunjukkan kekuatan kepada
nilai persahabatan itu, jika tanpa sahabat siapalah kita. Namun kini, nilai
persahabatan kian pudar akibat daripada sikap masyarakat yang mementingkan
harta dan kedudukan. Generasi moden kini lebih mementingkan wang daripada nilai
persahabatan sehingga sanggup mengorbankan persabahatan mereka demi kedudukan
dan harta. Kini, wujud istilah “sahabat tikam belakang”. Hakikatnya, persahabatan
yang terjalin seperti dalam filem ini amat jarang dilihat pada masa sekarang.
Dalam
filem Pendekar Bujang Lapok terdapat nilai kemanusiaan yang diamalkan oleh
masyarakat Melayu iaitu hormat-menghormati. Nilai menghormati dan memuliakan
orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan sekali berlaku. Menghormati dan
mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan
kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang
muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat
sekeliling. Namun nilai hormat-menghormati kini semakin pudar, kesan daripada
pengaruh budaya barat yang amat kritikal. Generasi Melayu moden kebanyakkan
mengamal sikap mementingkan diri sendiri dan memandang rendah terhadap
kelebihan seseorang membuatkan mereka tidak menghormati orang disekeliling
mereka. Apabila sikap ini semakin diamalkan ini akan menyebabkan belakunya
perpecahan kaum dan pergaduhan sesama sendiri. Golongan muda kini, sudah tidak
mengenali adab kita bersama orang yang lebih tua daripada mereka dan mewujudkan
budaya ‘kurang ajar’.
Selain
itu, nilai mentaati dan patuh kepada arahan guru turut ditekankan dalam filem
ini. Hal ini dapat dibuktikan dalam babak ketika Pendekar Mustar memberi arahan
untuk pergi belajar di Sekolah Umum Buta Huruf dan sewaktu Pendekar Mustar
memberi arahan kepada Bujang Lapok untuk pergi bertapa di tempat yang
ditetapkannya. Sikap ini telah ditunjukkan oleh Bujang Lapok yang patuh kepada
arahan dan nasihat Pendekar Mustar ketika belajar ilmu silat. Hal ini dapat
dikukuhkan lagi apabila Bujang Lapok pergi bertapa buat kali kedua, Pendekar
Mustar telah menasihat Bujang Lapok supaya tabah dengan semua dugaan yang
mendatang kerana itu semua cubaan. Bujang Lapok patuh kepada nasihat yang telah
diberikan oleh Pendekar Mustar sehingga Ros diculik turut dikatakan cubaan oleh
mereka. Namun generasi moden kini, sudah tidak mengamal nilai taat dan patuh
kepada guru. Kebanyakkan pelajar kini, sudah berani untuk melawan arahan guru.
Buktinya kini banyak kes tentang salah laku murid berlaku di Malaysia. Pelajar
masa kini, ada yang sudah berani mengugut guru dan ada juga yang berani mengencam
keselamatan guru. Hakikatnya, rasa hormat dan taat kepada guru sudah kurang
dalam kalangan generasi muda sekarang.
Akhir
sekali, sifat pemaaf dan amalan meminat maaf yang ditonjolkan dalam filem ini bukan
saja menonjolkan peribadi seorang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi,
malah meraikan fitrah kejadian manusia. Sikap ini dapat dibuktikan melalui
babak sewaktu Ros merajuk tidak mahu makan kerana tidak sukakan kehadiran
Bujang Lapok dirumahnya sehingga membuatkan Bujang Lapok berasa bersalah kepada
Ros. Akibat risaukan Ros tidak menyukai mereka berada di rumah tersebut,
Ramlee, Sudin dan Aziz cuba mengambil hatinya dengan menyanyikan lagu
"Maafkan Kami". Berikutan itu, hati Rosnah menjadi lembut dan mula
menyukai mereka. Ros menghantar surat memberitahu bahawa beliau bersedia untuk
memaafkan ketiga-tiga pemuda itu.
Dalam
konteks kehidupan kini, meminta maaf dan sifat pemaaf perlu disemai dalam diri.
Malu untuk mengaku kesalahan menjadikan amalan meminta maaf lenyap dalam diri seseorang.
Ia membimbangkan apabila sentiasa berada dalam zon selesa, manusia berasakan
kesalahan sesuatu yang biasa sambil mengetepikan hak dan perasaan orang lain.
Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara remeh perlu ditanam
dalam diri. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus
dibelenggu pelbagai masalah khususnya berkaitan kehidupan bermasyarakat. Hakikatnya,
maaf adalah ungkapan amat mudah diucapkan tetapi sukar dipraktikkan.
4.0 SUMBANGAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam merupakan sebuah tamadun yang
amat berbeza dengan tamadun-tamadun dunia lain. Tamadun Islam berkembang dari Semenanjung
Tanah Arab oleh Nabi Muhammad s.a.w. selepas menerima wahyu pertama. Kerajaan
Islam yang pertama di dunia berada di Madinah semasa Baginda berhijrah ke
Madinah pada tahun 622M.
Antara sumbangan tamadun Islam dalam filem
ini ialah konsep mementingkan ilmu pengetahuan. Filem ini mengisahkan tiga
pemuda yang merantau mencari ilmu. Filem ini turut mengetengahkan tentang
kepentingan pendidikan. Kelahiran tamadun Islam berasaskan ilmu pengetahuan
yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia
merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Penekanan kepada
ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat awal telah membangkitkan kesedaran
pentingnya pembinaan tamadun berasaskan pengetahuan. Sejarah kegemilangan tamadun
Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan ummah terhadap budaya ilmu dalam
kehidupan seharian.
Selain itu, melalui filem ini kita dapat
melihat masyarakat pada masa itu, menggunakan tulisan Jawi dalam pembelajaran
mereka. Antara babak yang menunjukkan penggunaan tulisan Jawi dalam pendidikan
ialah sewaktu Bujang Lapok pergi ke Sekolah Umum Buta Huruf untuk belajar
membaca. Tulisan jawi merupakan salah satu pengaruh daripada tamadun Islam yang
meresap ke alam Melayu serta sudah lama wujud di Nusantara. Terdahulu, tulisan
jawi juga dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab. Tulisan ini sampai ke
alam Melayu bersama-sama dengan kedatangan agama Islam, yang dibawa oleh para
pedagang Islam pada ketika itu.
Pengaruh daripada tamadun Islam telah
mengubah budaya dan adat masyarakat Melayu pada masa itu, Buktinya, melalui
filem ini P.Ramlee telah menonjolkan budaya masyarakat Melayu pada masa itu
menghormati dan memuliakan tetamu. Babak Bujang Lapok datang ke rumah Pendekar
Mustar lalu Pendekar Mustar membawa mereka masuk ke rumah dan menjamu mereka
makan serta memberi mereka tempat tinggal menunjukkan budaya masyarakat Melayu
yang menghormati tetamu mereka. Ketamadunan Islam amat menitikberatkan hubungan
antara sesama manusia. Oleh itu, Islam telah menggariskan adab dan etika
tertentu bagi memuliakan tetamu yang hadir ke rumah kita. Pihak tuan rumah
bertanggungjawab sepenuhnya selama keberadaan tetamu di rumahnya serta
berkewajipan membelanjakan sebahagian rezekinya untuk mereka. Selain itu,
budaya berbudi bahasa juga turut ditonjolkan dalam filem ini. Buktinya, Bujang
Lapok menggunakan bahasa yang sopan ketika berkenalan dengan Pendekar Mustar
dan isterinya. Tamadun Islam mementingkan akhlak yang baik dalam kehidupan
bermasyarakat ini. Amal berbudi bahasa ini juga telah ditunjukkan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. Nabi tidak menggunakan bahasa-bahasa yang kesat walaupun
berbicara dengan orang yang bukan Islam.
Pemakaian masyarakat Melayu dalam filem
tersebut turut dipengaruhi oleh ketamadunan Islam. Masyarakat dalam filem
tersebut, kebanyakkan memakai pakaian tradisional seperti lelaki yang memakai
baju Melayu serta bersongkok dan wanita memakai baju kebaya serta berselendang.
Hal ini kerana pakaian tradisional kaum Melayu juga turut mempunyai pengaruh
Islam iaitu menepati ciri-ciri menutup aurat. Dalam Islam, pemakaian menutup
aurat amat penting kerana ianya merupakan perintah daripada Allah s.w.t .
5.0
IKTIBAR
Filem
komedi P.Ramlee boleh dijadikan pedoman kepada generasi baru dalam pengarahan
filem komedi. Kebanyakan filem komedi yang dihasilkan oleh P. Ramlee sebenarnya
menyelitkan banyak iktibar selain memaparkan realiti kehidupan ketika itu.
Melalui
filem ini, dapat dikatakan bahawa masyarakat Melayu mempunyai identitinya yang
tersendiri. Ini hasil daripada penggunaan mantera di dalam kehidupan seharian
masyarakat Melayu dan silat sebagai satu seni mempertahankan diri orang-orang
Melayu. Kesan kepada rakaman sebegini ialah ia dapat memberi peluang kepada
generasi mendatang yang akan menjadi pelapis bangsa untuk mengenali dan menilai
sendiri kehidupan dan identiti masyarakat mereka yang semakin kepupusan.
Dalam
filem “Pendekar Bujang Lapok”, memaparkan kehidupan masyarakat Melayu yang buta
huruf. P.Ramlee mendokumentasi sejarah
yang mana kerajaan amat prihatin masalah rakyat dengan mengadakan sekolah
dewasa untuk golongan tua. Kerajaan peka masalah sosial yang dihadapi oleh orang Melayu kerana buta
huruf. Jika P.Ramlee tidak menggambarkan isu tersebut dalam filemnya,
barangkali generasi mutakhir akan buta sejarah tentang peranan kerajaan
menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat. Jelas bahawa, kini dapat dilihat
berlakunya perubahan pada pemikiran masyarakat Melayu.
Masyarakat
sekarang yang menonton filem ini akan menyedari hakikat bahawa pelajaran itu
penting, terutama dalam dunia globalisasi ini. Filem ini akan sentiasa ditonton
kerana mengambarkan kedudukan dan pemikiran masyarakat zaman dahulu untuk
tatapan dan kajian masyarakat sekarang. P.Ramlee
telah membuktikan kepentingan pendidikan walaupun hanya untuk mempelajari ilmu
seni mempertahankan diri. Hal ini dapat dibuktikan melalui babak ketika Bujang
Lapok gagal untuk menulis mentera yang diucapkan oleh Pendekar Mustar. Selain
itu, babak sewaktu Ros menghantar surat kepada Bujang Lapok, ketiga-tiga mereka
tidak dapat membaca apa yang ditulis oleh Ros dan akhirnya mereka terpaksa
meminta bantu Aini yang merupakan pembantu rumah Pendekar Mustar untuk
membacakan surat tersebut. Bagi menyelesaikan masalah buta huruf diantara
mereka bertiga, Pendekar Mustar telah memberi arahan untuk pergi belajar di
Sekolah Umum Buta Huruf. Melalui filem ini juga, P.Ramlee turut memperjuangkan
kepentingan mempelajari tulisan jawi. Jika dilihat pada masa kini, generasi
muda kebanyakkan sudah tidak tahu membaca Jawi.
Salah
satu punca populariti filem arahan P.Ramlee ialah sikap dan peranan beliau yang
sentiasa memperjuangkan nasib golongan rakyat kecil. Boleh dikatakan kebanyakan
filem-filem P.Ramlee mengetengahkan nasib golongan bawahan terutamanya filem
Pendekar Bujang Lapok yang mana pada ketika itu masyarakatnya sangat direncam
dengan status dan kedudukan kekayaan. Salah satu nilai budaya orang Melayu
ialah tidak memandang rendah kepada orang lain. Orang Melayu saling menghormati
orang lain dan bersikap rendah diri. Orang Melayu digalakkan memberi
penghormatan terlebih dahulu kepada orang lain. Orang yang tidak membalas
penghormatan yang diberi akan dipandang rendah. Pada zaman filem Pendekar
Bujang Lapok dikeluarkan, golongan-golongan ini dipandang tidak beberapa
penting di dalam masyarakat, manakala golongan atasan pula digambarkan sebagai
golongan yang lebih berbangga dengan kekayaan yang sedia ada dan sentiasa
menjaga status kehormat yang dimiliki. Namun sehingga kini, sikap ini masih
diamalkan oleh masyarakat kita. Kebanyakkan golongan yang mempunyai kuasa telah
menyalahgunakan kuasa mereka dan menindas golongan bawahan demi kepentingan
diri.
Akhir
sekali, iktibar yang boleh diambil dalam filem ini ialah amanah dalam pekerjaan
kita. Hal ini dapat dibuktikan ketika babak di jeti. Sikap samseng-samseng yang
bekerja di jeti penambang ini yang lelaki-lelaki pongah, kasar dan mempunyai
akhlak yang rendah. Samseng berbaju hitam dan baju dalam berbelang hitam-putih
ini suka memaki-hamun sesama sendiri. Mereka juga bertangan panjang, mencuri
buah-buahan yang dibawa oleh penumpang. Mereka juga turut menyamun duit tambang
perahu, menindas para penumpang yang terdiri daripada orang bawahan serta
mendahulukan gadis-gadis cantik untuk menaiki perahu. Melalui babak ini, kita
dapat mengambil iktibar tentang kepentingan sikap amanah dalam pekerjaan kita.
Akibat daripada sikap yang dibawa oleh samseng-samseng itu, pelanggan menjadi
benci kepada mereka namun tidak dapat menentang mereka kerana jeti penambang
itu kepunyaan mereka. Namun apabila berlaku penentangan daripada Pendekar
Mustar, masyarakat disitu juga turut bangkit untuk menentang samseng itu atas
seruan oleh Ajis yang mengajak mereka untuk menentang samseng itu. Hakikatnya,
masyarakat kini juga masih mengamal sikap tidak amanah dalam pekerjaan mereka.
Buktinya, banyak isu yang boleh kita lihat di dada akhbar hari ini tentang
masalah pekerja menyalahgunakan kuasa mereka. Terdapat juga masalah pekerja
yang mencuri duit syarikat untuk kepentingan diri. Setiap perbuatan yang buruk
akan mendapat balasan. Buktinya dalam pengakhiran babak di jeti,
samseng-samseng itu telah dipukul oleh penumpang-penumpang disitu kerana tidak
puas hati dengan sikap angkuh mereka.
6.0
KESIMPULAN
Filem
boleh dianggap sebagai salah satu wadah untuk mendokumentasikan ketamadunan
sebuah masyarakat. Ini bersesuaian dengan ruang, masa dan konteks kehidupan
zaman itu dihidupkan. Filem Pendekar Bujang Lapok ini juga tidak terkecuali
dalam hal ini. Pendekatan yang digunakan di dalam filem ini bercorak komedi.
Namun demikian, melalui filem ini nyata dapat dilihat kehidupan masyarakat
Melayu pada satu ketika untuk dijadikan sebagai satu kritikan sosial. Unsur
komedi pula sengaja diselitkan sebagai bahan hiburan kepada tantapan umum.
Dalam
filem Pendekar Bujang Lapok (1959), P. Ramlee menyampaikan banyak ideanya
secara tersirat. Antara hujahnya ialah tidak salah bagi orang dewasa belajar
membaca dan menulis, juga tidak salah kalau kaum wanita menjadi guru dan
mengajar mereka yang dewasa. P. Ramlee melihat kedaifan bangsanya kerana
kebanyakkan dari mereka tidak ada pendidikan formal yang membolehkan mereka
menangani zaman moden. Namun yang sudah mempunyai pendidikan pula bersikap
angkuh dan terlupa nilai-nilai tradisi masyarakat orang-orang Melayu.