Saturday, December 9, 2017

KAJIAN FILEM PENDEKAR BUJANG LAPOK DARI ASPEK KETAMADUNAN DAN NILAI KEMANUSIAAN


1.0 PENGENALAN
Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab iaitu mudun, madain dan madana. Perkataan tersebut bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Dari segi konsep, tamadun membawa maksud peradaban, pembangunan atau kemajuan. Menurut sarjana Islam pula, tamadun bermaksud pembangunan dalam aspek lahiriah dan rohaniah iaitu kemajuan dalam bidang fizikal dan sahsiah manusia. Menurut mereka, tamadun mestilah wujud keseimbangan antara kemajuan lahiriah dan rohaniah.
Ibn Khaldun (732H – 808H) merupakan orang pertama yang membuat kajian khusus tentang tamadun pada kurun ke-14 dalam bukunya al-Muqaddimah li Kitab al-'ibar wa Diwan al-Mabtada' wa al-Khabar fi Ayyam al-'Arab wa al-'Ajam wa al-Barbar. Beliau menggunakan perkataan “umran” sebagai merujuk kepada “tamadun” yang kita fahami sekarang. Menurut Ibn Khaldun, tamadun ialah pembangunan bandar yang subur dan makmur dengan pencapaian yang tinggi dalam pelbagai bidang ekonomi, politik, sosial, seni bina termasuk bidang sains seperti aritmetik, algebra, geometri, kimia, perubatan serta puisi dan pengajian Islam.     
Karya seni yang mantap akan sentiasa diperkatakan serta menjadi rujukan. Karya sebegini tergolong dalam senarai karya-karya klasik di mana subjek, tema dan isu semasa akan menjadi relevan pada setiap zaman. Beberapa karya filem Tan Sri Dr. P. Ramlee juga tergolong ke dalam kategori ini. Di dalam konteks sinema Malaysia, P. Ramlee adalah seorang karyawan yang unik. Dia melihat filem sebagai satu medium seni yang amat berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada bangsa dan agama. P. Ramlee membuat pelbagai kritikan, sindiran dan teguran yang berkaitan dengan aspek moral dan spiritual yang dibuat dengan gaya dan cara yang lembut dan amat tersirat yang sesuai dengan tuntutan agama dan budaya bangsa.
Filem Pendekar Bujang Lapok (1959) merupakan filem arahan Tan Sri. Dr. P. Ramlee yang mengetengahkan ciri-ciri ketamadunan masyarakat pada masa itu. Filem ini telah terpilih sebagai penerima Anugerah Komedi Terbaik pada 1959 di Filem Festival Asia Ke-6, di Kuala Lumpur. Filem ini mengisahkan tiga orang sahabat baik iaitu Ramli (P.Ramlee), Ajis (Aziz Sattar) dan Sudin (S.Shamsuddin) yang ingin belajar silat dengan seorang guru silat yang bernama Pendekar Mustar (Mustarjo). Mereka bertiga begitu kagum dengan kehandalan Pendekar Mustar yang telah berjaya menewaskan dua orang pemuda di Pekan Penambang. Oleh kerana mereka semuanya buta huruf, mereka tidak dapat membaca di mana letaknya Kampung Pinang Sebatang iaitu tempat di mana terdapatnya rumah Pendekar Mustar. Sehinggalah mereka mengekori seorang gadis yang bernama Ros (Rose Yatimah) yang kebetulan adalah anak kepada Pendekar Mustar. Dari situlah pelbagai adegan yang mencuit hati semasa mereka belajar silat dengan Pendekar Mustar. Semasa pembelajaran itu, mereka disuruh bertapa antaranya kubur tempat orang mati dibunuh, perigi buta yang telah ditinggalkan dan rumah usang yang tiada penghuni. Mereka juga telah jatuh hati kepada Ros, tetapi Ros lebih suka kepada Ramli.


2.0 CIRI TAMADUN
Ciri-ciri tamadun terdiri daripada penempatan kekal, pengkhususan pekerjaan, sistem pengelasan sosial dan kepercayaan serta agama yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Secara ringkasnya, ciri-ciri tamadun memerlukan beberapa elemen asas yang memainkan peranan penting dalam proses pembentukan sesebuah tamadun. Antara elemen tersebut ialah penempatan manusia pada suatu tempat yang strategik seperti pusat bandar. Seterusnya, jangka hayat penghidupan yang stabil dan agak panjang. Di samping itu, terdapat sistem organisasi dan institusi sosial dalam bidang politik, ekonomi, sosialisasi dan pendidikan yang teratur dan sistematik. Selain itu, wujud satu bahasa atau beberapa bahasa serumpun dengan sistem tulisan tersendiri yang menjadi alat komunikasi ilmu. Selain daripada itu, wujud undang-undang yang teratur dan berwibawa untuk mengawal perlakuan dan tindak-tanduk anggota masyarakatnya. Akhir sekali, terdapat peningkatan daya kekreatifan dalam bidang seni, sastera, falsafah dan pelbagai penciptaan sains dan teknologi.
Ciri tamadun yang terdapat dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah penempatan kekal. Filem ini menggambarkan situasi perkampungan yang boleh dilihat di babak Bujang Lapok sedang mencari Kampung Pinang Sebatang. Rumah-rumah yang dibina daripada kayu membuktikan penempatan pada zaman itu adalah secara perkampungan dan hidup bermasyarakat. Masyarakat yang hanya berjalan kaki dan menggunakan basikal untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat menunjukkan suasana perkampungan orang Melayu pada ketika itu. Hal ini dapat dibuktikan lagi apabila Bujang Lapok tiba di rumah Pendekar Mustar. Rumahnya yang dibina daripada kayu dan direka bentuk mengikut rumah tradisional orang Melayu. Selain itu, filem ini juga menunjukkan potret lazim Melayu desa yang sentiasa dipanggang matahari panas dan berkeringat mencari sesuap nasi. Raut wajah si pengayuh dan penumpangnya sewaktu permulaan filem ini, dapat dilihat kepayahan memperjuangkan hidup. Barang-barang dibawa ternyata mereka menaiki sampan untuk menjalankan kerja-kerja harian ataupun berdagang.
 
Dari segi kehidupan berorganisasi pula, pertambahan bilangan penduduk telah membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik. Kehidupan berorganisasi ini mampu mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka. Organisasi sosial yang paling awal ialah sistem keluarga. Pertambahan bilangan penduduk dan kepelbagaian aktiviti ekonomi telah membawa kepada proses pembahagian masyarakat yang lebih kompleks. Sistem sosial masyarakat ini adalah berbentuk piramid dan bersusun lapis mengikut status sosial.
Filem Pendekar Bujang Lapok merupakan sebuah filem lama yang memaparkan keadaan sosial masyarakat pada waktu itu. Sebagai contoh, rupa dan kostum protagonis dan antagonis dalam Pendekar Bujang Lapok jelas menggambarkan perbezaan kelas sosial di antara mereka. Wak Mustar dan tiga pemuda (Bujang Lapok) memakai baju yang menjadi petanda bahawa mereka adalah dari kaum Melayu dan juga mereka terdiri dari kelas pekerja. Pemilik feri memakai baju dan topi putih serta memegang tongkat yang menunjukkan statusnya sebagai orang kaya dan ada kedudukan. Ia juga menampakkan sifat kapitalis dan kebaratannya. Pekerja-pekerjanya mengenakan pakaian seragam yang tidak menampakkan ciri-ciri kemelayuan.
Seterusnya, ciri yang ditonjolkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah agama dan kepercayaan. Melalui babak Pendekar Bujang Lapok merupakan satu gambaran di mana masyarakat sangat mempercayai unsur-unsur ghaib seperti ‘mambang’ ataupun makhluk-makhluk halus. Pelbagai alat digunakan untuk melindungkan diri seperti mantera, jampi, serapah dan sebagainya. Mantera sebagai salah satu genre diketengahkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok menggambarkan kepercayaan zaman animisme kerana mantera yang digunakan menyeru kepada “mambang” yang dipercayai mempunyai kuasa untuk melindung mereka. Dengan ini, kita dapat menilai bahawa mantera wujud sebelum kedatangan Islam. Kesan daripada unsur ini memberi gambaran tentang kejahilan masyarakat zaman dahulu dan ternyata golongan masyarakat yang masih mempraktikkan “mantera” dalam menyeru sesuatu kuasa adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ternyata kepercayaan ini penting dalam memperlihatkan peredaran zaman dalam sistem kepercayaan masyarakat Melayu. Zaman 60-an di mana filem itu dihasilkan, sebenarnya sudah menerima Islam, iaitu Allah yang Maha Berkuasa, maka itu adegan mantera diketengahkan sebagai adegan lucu yang tidak harus diambil serius sebagai satu kepercayaan zaman itu dan seterusnya.
Seterusnya, bahasa dan sistem tulisan yang digunakan dalam filem ini ialah bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Pada tahun 1960-an, kebanyakkan filem Melayu telah menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan baku. Contohnya perkataan “mambang”, “cobaan” dan lain-lain. Ini disebabkan pengarah dan penolong pengarah pada masa itu terdiri daripada orang Melayu. Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu digunakan cukup meluas dalam filem. Pada masa ini, bahasa Melayu mula bercampur aduk dengan loghat atau pengaruh bahasa Tamil, Cina, Inggeris, Filipina dan lain-lain. Contohnya babak ketika Pak Mustar menunjukkan alat muzik kepada Bujang Lapok dan menyebut nama alat muzik tersebut, kebanyakkan alat muzik yang ditunjuknya menggunakan kata pinjam inggeris seperti bongo, biola dan piano. Dialog-dialog yang digunakan dalam filem Pendekar Bujang Lapok lebih menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat. Selain itu, bukti yang menunjukkan tulisan Jawi digunakan dalam filem ini adalah sewaktu babak Bujang Lapok pergi ke sekolah orang buta huruf, mereka diajar untuk membaca huruf jawi.



3.0 NILAI KEMANUSIAAN
Nilai kemanusiaan membawa maksud kualiti atau mutu yang berkaitan perihal sifat manusia. Masa kini sering kali kita diperdengarkan kurangnya nilai kemanusiaan di dalam masyarakat moden. Selain itu, P.Ramlee juga boleh disifatkan sebagai seniman yang berfikiran kritis dan kritikal dalam melihat dan mengolah nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung di dalam masyarakat Melayu.
Antara nilai yang ketara diterapkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok adalah mengenai nilai persahabatan, hal ini dapat dibuktikan walaupun mereka bertiga (Ramlee, Aziz dan Sudin) mengalami kesukaran dalam kehidupan mereka namun, semangat setiakawan antara mereka tetap kukuh. Selain itu, kekukuhan persahabatan yang ditunjukkan oleh Ramli, Aziz dan Sudin dapat dilihat sewaktu babak perkenalan mereka bersama Pendekar Mustar. Apabila Pendekar Mustar bertanya nama mereka bertiga lalu membuat kesimpulan bahawa mereka bertiga bukan saudara namun hanya sahabat. Ramli dan Aziz terus berkata “Yaa..Kami sahabat sudah lama pak cik sejak dari dalam perut lagi”. Nilai persahabatan ini lebih kukuh lagi apabila mereka bersama-sama menghadapi cubaan ketika menuntut ilmu persilatan. Sebelum itu, mereka dipecahkan kepada tiga kawasan untuk pergi bertapa namun gagal kerana tidak dapat bertahan dengan gangguan dikawasan mereka bertapa. Selepas itu, barulah mereka bergabung bersama dan bertapa di satu tempat bersama dan berjaya mengharungi gangguan ketika bertapa. Ini menunjukkan kekuatan kepada nilai persahabatan itu, jika tanpa sahabat siapalah kita. Namun kini, nilai persahabatan kian pudar akibat daripada sikap masyarakat yang mementingkan harta dan kedudukan. Generasi moden kini lebih mementingkan wang daripada nilai persahabatan sehingga sanggup mengorbankan persabahatan mereka demi kedudukan dan harta. Kini, wujud istilah “sahabat tikam belakang”. Hakikatnya, persahabatan yang terjalin seperti dalam filem ini amat jarang dilihat pada masa sekarang.
Dalam filem Pendekar Bujang Lapok terdapat nilai kemanusiaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu iaitu hormat-menghormati. Nilai menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan sekali berlaku. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat sekeliling. Namun nilai hormat-menghormati kini semakin pudar, kesan daripada pengaruh budaya barat yang amat kritikal. Generasi Melayu moden kebanyakkan mengamal sikap mementingkan diri sendiri dan memandang rendah terhadap kelebihan seseorang membuatkan mereka tidak menghormati orang disekeliling mereka. Apabila sikap ini semakin diamalkan ini akan menyebabkan belakunya perpecahan kaum dan pergaduhan sesama sendiri. Golongan muda kini, sudah tidak mengenali adab kita bersama orang yang lebih tua daripada mereka dan mewujudkan budaya ‘kurang ajar’.
Selain itu, nilai mentaati dan patuh kepada arahan guru turut ditekankan dalam filem ini. Hal ini dapat dibuktikan dalam babak ketika Pendekar Mustar memberi arahan untuk pergi belajar di Sekolah Umum Buta Huruf dan sewaktu Pendekar Mustar memberi arahan kepada Bujang Lapok untuk pergi bertapa di tempat yang ditetapkannya. Sikap ini telah ditunjukkan oleh Bujang Lapok yang patuh kepada arahan dan nasihat Pendekar Mustar ketika belajar ilmu silat. Hal ini dapat dikukuhkan lagi apabila Bujang Lapok pergi bertapa buat kali kedua, Pendekar Mustar telah menasihat Bujang Lapok supaya tabah dengan semua dugaan yang mendatang kerana itu semua cubaan. Bujang Lapok patuh kepada nasihat yang telah diberikan oleh Pendekar Mustar sehingga Ros diculik turut dikatakan cubaan oleh mereka. Namun generasi moden kini, sudah tidak mengamal nilai taat dan patuh kepada guru. Kebanyakkan pelajar kini, sudah berani untuk melawan arahan guru. Buktinya kini banyak kes tentang salah laku murid berlaku di Malaysia. Pelajar masa kini, ada yang sudah berani mengugut guru dan ada juga yang berani mengencam keselamatan guru. Hakikatnya, rasa hormat dan taat kepada guru sudah kurang dalam kalangan generasi muda sekarang.
Akhir sekali, sifat pemaaf dan amalan meminat maaf yang ditonjolkan dalam filem ini bukan saja menonjolkan peribadi seorang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi, malah meraikan fitrah kejadian manusia. Sikap ini dapat dibuktikan melalui babak sewaktu Ros merajuk tidak mahu makan kerana tidak sukakan kehadiran Bujang Lapok dirumahnya sehingga membuatkan Bujang Lapok berasa bersalah kepada Ros. Akibat risaukan Ros tidak menyukai mereka berada di rumah tersebut, Ramlee, Sudin dan Aziz cuba mengambil hatinya dengan menyanyikan lagu "Maafkan Kami". Berikutan itu, hati Rosnah menjadi lembut dan mula menyukai mereka. Ros menghantar surat memberitahu bahawa beliau bersedia untuk memaafkan ketiga-tiga pemuda itu.
Dalam konteks kehidupan kini, meminta maaf dan sifat pemaaf perlu disemai dalam diri. Malu untuk mengaku kesalahan menjadikan amalan meminta maaf lenyap dalam diri seseorang. Ia membimbangkan apabila sentiasa berada dalam zon selesa, manusia berasakan kesalahan sesuatu yang biasa sambil mengetepikan hak dan perasaan orang lain. Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah khususnya berkaitan kehidupan bermasyarakat. Hakikatnya, maaf adalah ungkapan amat mudah diucapkan tetapi sukar dipraktikkan.



4.0 SUMBANGAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam merupakan sebuah tamadun yang amat berbeza dengan tamadun-tamadun dunia lain. Tamadun Islam berkembang dari Semenanjung Tanah Arab oleh Nabi Muhammad s.a.w. selepas menerima wahyu pertama. Kerajaan Islam yang pertama di dunia berada di Madinah semasa Baginda berhijrah ke Madinah pada tahun 622M.
Antara sumbangan tamadun Islam dalam filem ini ialah konsep mementingkan ilmu pengetahuan. Filem ini mengisahkan tiga pemuda yang merantau mencari ilmu. Filem ini turut mengetengahkan tentang kepentingan pendidikan. Kelahiran tamadun Islam berasaskan ilmu pengetahuan yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat awal telah membangkitkan kesedaran pentingnya pembinaan tamadun berasaskan pengetahuan. Sejarah kegemilangan tamadun Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan ummah terhadap budaya ilmu dalam kehidupan seharian.
Selain itu, melalui filem ini kita dapat melihat masyarakat pada masa itu, menggunakan tulisan Jawi dalam pembelajaran mereka. Antara babak yang menunjukkan penggunaan tulisan Jawi dalam pendidikan ialah sewaktu Bujang Lapok pergi ke Sekolah Umum Buta Huruf untuk belajar membaca. Tulisan jawi merupakan salah satu pengaruh daripada tamadun Islam yang meresap ke alam Melayu serta sudah lama wujud di Nusantara. Terdahulu, tulisan jawi juga dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab. Tulisan ini sampai ke alam Melayu bersama-sama dengan kedatangan agama Islam, yang dibawa oleh para pedagang Islam pada ketika itu.
Pengaruh daripada tamadun Islam telah mengubah budaya dan adat masyarakat Melayu pada masa itu, Buktinya, melalui filem ini P.Ramlee telah menonjolkan budaya masyarakat Melayu pada masa itu menghormati dan memuliakan tetamu. Babak Bujang Lapok datang ke rumah Pendekar Mustar lalu Pendekar Mustar membawa mereka masuk ke rumah dan menjamu mereka makan serta memberi mereka tempat tinggal menunjukkan budaya masyarakat Melayu yang menghormati tetamu mereka. Ketamadunan Islam amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia. Oleh itu, Islam telah menggariskan adab dan etika tertentu bagi memuliakan tetamu yang hadir ke rumah kita. Pihak tuan rumah bertanggungjawab sepenuhnya selama keberadaan tetamu di rumahnya serta berkewajipan membelanjakan sebahagian rezekinya untuk mereka. Selain itu, budaya berbudi bahasa juga turut ditonjolkan dalam filem ini. Buktinya, Bujang Lapok menggunakan bahasa yang sopan ketika berkenalan dengan Pendekar Mustar dan isterinya. Tamadun Islam mementingkan akhlak yang baik dalam kehidupan bermasyarakat ini. Amal berbudi bahasa ini juga telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi tidak menggunakan bahasa-bahasa yang kesat walaupun berbicara dengan orang yang bukan Islam.
Pemakaian masyarakat Melayu dalam filem tersebut turut dipengaruhi oleh ketamadunan Islam. Masyarakat dalam filem tersebut, kebanyakkan memakai pakaian tradisional seperti lelaki yang memakai baju Melayu serta bersongkok dan wanita memakai baju kebaya serta berselendang. Hal ini kerana pakaian tradisional kaum Melayu juga turut mempunyai pengaruh Islam iaitu menepati ciri-ciri menutup aurat. Dalam Islam, pemakaian menutup aurat amat penting kerana ianya merupakan perintah daripada Allah s.w.t .



5.0 IKTIBAR
Filem komedi P.Ramlee boleh dijadikan pedoman kepada generasi baru dalam pengarahan filem komedi. Kebanyakan filem komedi yang dihasilkan oleh P. Ramlee sebenarnya menyelitkan banyak iktibar selain memaparkan realiti kehidupan ketika itu.
Melalui filem ini, dapat dikatakan bahawa masyarakat Melayu mempunyai identitinya yang tersendiri. Ini hasil daripada penggunaan mantera di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu dan silat sebagai satu seni mempertahankan diri orang-orang Melayu. Kesan kepada rakaman sebegini ialah ia dapat memberi peluang kepada generasi mendatang yang akan menjadi pelapis bangsa untuk mengenali dan menilai sendiri kehidupan dan identiti masyarakat mereka yang semakin kepupusan.
Dalam filem “Pendekar Bujang Lapok”, memaparkan kehidupan masyarakat Melayu yang buta huruf.  P.Ramlee mendokumentasi sejarah yang mana kerajaan amat prihatin masalah rakyat dengan mengadakan sekolah dewasa untuk golongan tua. Kerajaan peka masalah sosial  yang dihadapi oleh orang Melayu kerana buta huruf. Jika P.Ramlee tidak menggambarkan isu tersebut dalam filemnya, barangkali generasi mutakhir akan buta sejarah tentang peranan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat. Jelas bahawa, kini dapat dilihat berlakunya perubahan pada pemikiran masyarakat Melayu.
Masyarakat sekarang yang menonton filem ini akan menyedari hakikat bahawa pelajaran itu penting, terutama dalam dunia globalisasi ini. Filem ini akan sentiasa ditonton kerana mengambarkan kedudukan dan pemikiran masyarakat zaman dahulu untuk tatapan dan kajian masyarakat sekarang. P.Ramlee telah membuktikan kepentingan pendidikan walaupun hanya untuk mempelajari ilmu seni mempertahankan diri. Hal ini dapat dibuktikan melalui babak ketika Bujang Lapok gagal untuk menulis mentera yang diucapkan oleh Pendekar Mustar. Selain itu, babak sewaktu Ros menghantar surat kepada Bujang Lapok, ketiga-tiga mereka tidak dapat membaca apa yang ditulis oleh Ros dan akhirnya mereka terpaksa meminta bantu Aini yang merupakan pembantu rumah Pendekar Mustar untuk membacakan surat tersebut. Bagi menyelesaikan masalah buta huruf diantara mereka bertiga, Pendekar Mustar telah memberi arahan untuk pergi belajar di Sekolah Umum Buta Huruf. Melalui filem ini juga, P.Ramlee turut memperjuangkan kepentingan mempelajari tulisan jawi. Jika dilihat pada masa kini, generasi muda kebanyakkan sudah tidak tahu membaca Jawi.
Salah satu punca populariti filem arahan P.Ramlee ialah sikap dan peranan beliau yang sentiasa memperjuangkan nasib golongan rakyat kecil. Boleh dikatakan kebanyakan filem-filem P.Ramlee mengetengahkan nasib golongan bawahan terutamanya filem Pendekar Bujang Lapok yang mana pada ketika itu masyarakatnya sangat direncam dengan status dan kedudukan kekayaan. Salah satu nilai budaya orang Melayu ialah tidak memandang rendah kepada orang lain. Orang Melayu saling menghormati orang lain dan bersikap rendah diri. Orang Melayu digalakkan memberi penghormatan terlebih dahulu kepada orang lain. Orang yang tidak membalas penghormatan yang diberi akan dipandang rendah. Pada zaman filem Pendekar Bujang Lapok dikeluarkan, golongan-golongan ini dipandang tidak beberapa penting di dalam masyarakat, manakala golongan atasan pula digambarkan sebagai golongan yang lebih berbangga dengan kekayaan yang sedia ada dan sentiasa menjaga status kehormat yang dimiliki. Namun sehingga kini, sikap ini masih diamalkan oleh masyarakat kita. Kebanyakkan golongan yang mempunyai kuasa telah menyalahgunakan kuasa mereka dan menindas golongan bawahan demi kepentingan diri.
Akhir sekali, iktibar yang boleh diambil dalam filem ini ialah amanah dalam pekerjaan kita. Hal ini dapat dibuktikan ketika babak di jeti. Sikap samseng-samseng yang bekerja di jeti penambang ini yang lelaki-lelaki pongah, kasar dan mempunyai akhlak yang rendah. Samseng berbaju hitam dan baju dalam berbelang hitam-putih ini suka memaki-hamun sesama sendiri. Mereka juga bertangan panjang, mencuri buah-buahan yang dibawa oleh penumpang. Mereka juga turut menyamun duit tambang perahu, menindas para penumpang yang terdiri daripada orang bawahan serta mendahulukan gadis-gadis cantik untuk menaiki perahu. Melalui babak ini, kita dapat mengambil iktibar tentang kepentingan sikap amanah dalam pekerjaan kita. Akibat daripada sikap yang dibawa oleh samseng-samseng itu, pelanggan menjadi benci kepada mereka namun tidak dapat menentang mereka kerana jeti penambang itu kepunyaan mereka. Namun apabila berlaku penentangan daripada Pendekar Mustar, masyarakat disitu juga turut bangkit untuk menentang samseng itu atas seruan oleh Ajis yang mengajak mereka untuk menentang samseng itu. Hakikatnya, masyarakat kini juga masih mengamal sikap tidak amanah dalam pekerjaan mereka. Buktinya, banyak isu yang boleh kita lihat di dada akhbar hari ini tentang masalah pekerja menyalahgunakan kuasa mereka. Terdapat juga masalah pekerja yang mencuri duit syarikat untuk kepentingan diri. Setiap perbuatan yang buruk akan mendapat balasan. Buktinya dalam pengakhiran babak di jeti, samseng-samseng itu telah dipukul oleh penumpang-penumpang disitu kerana tidak puas hati dengan sikap angkuh mereka.



6.0 KESIMPULAN
Filem boleh dianggap sebagai salah satu wadah untuk mendokumentasikan ketamadunan sebuah masyarakat. Ini bersesuaian dengan ruang, masa dan konteks kehidupan zaman itu dihidupkan. Filem Pendekar Bujang Lapok ini juga tidak terkecuali dalam hal ini. Pendekatan yang digunakan di dalam filem ini bercorak komedi. Namun demikian, melalui filem ini nyata dapat dilihat kehidupan masyarakat Melayu pada satu ketika untuk dijadikan sebagai satu kritikan sosial. Unsur komedi pula sengaja diselitkan sebagai bahan hiburan kepada tantapan umum.

Dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959), P. Ramlee menyampaikan banyak ideanya secara tersirat. Antara hujahnya ialah tidak salah bagi orang dewasa belajar membaca dan menulis, juga tidak salah kalau kaum wanita menjadi guru dan mengajar mereka yang dewasa. P. Ramlee melihat kedaifan bangsanya kerana kebanyakkan dari mereka tidak ada pendidikan formal yang membolehkan mereka menangani zaman moden. Namun yang sudah mempunyai pendidikan pula bersikap angkuh dan terlupa nilai-nilai tradisi masyarakat orang-orang Melayu.